Friday, January 1, 2010

Amanat Ketua Pengarah Jakim Kepada Warga Jakim Cawangan Sabah

Majlis Ramah Mesra Ketua Pengarah JAKIM Bersama Warga JAKIM Cawangan Sabah telah diadakan pada 19 Oktober 2009 bertempat di ibu pejabat JAKIM Cawangan Sabah, Kota Kinabalu. Majlis pertemuan ini merupakan salah satu program yang diaturkan bersempena lawatan kerja Y.Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM ke Sabah.


Majlis ramah mesra ini memberi peluang kepada Y.Bhg. Ketua Pengarah JAKIM untuk menyampaikan amanat kepada warga JAKIM Cawangan Sabah. Semasa menyampaikan amanat, beliau amat mengharapkan semua warga JAKIM Cawangan Sabah agar menitikberatkan soal itqan (kesungguhan) semasa melaksanakan program. Beliau turut memperingatkan bahawa fokus JAKIM Cawangan Sabah di negeri bawah bayu ini adalah untuk melahirkan kader-kader serta melaksanakan program-program pengajian dan latihan.

Sehubungan itu, empat buah institusi di bawah JAKIM Cawangan Sabah iaitu Pusat Latihan Islam Kundasang, Pusat Latihan Islam Lahad Datu, Pusat Latihan Dakwah Kudat dan Pusat Latihan Dakwah Keningau perlu diperkasakan.


JAKIM Cawangan Sabah juga perlu menjadi peneraju utama (leader) program-program agama di negeri Sabah. Y.Bhg. Ketua Pengarah JAKIM turut menyuntik kata-kata semangat kepada semua warga JAKIM Cawangan Sabah dengan mengumpamakan diri sebagai pendakwah. Ujar beliau, “Kerja kita umpama pendakwah, perlu banyak berkorban apabila melaksanakan program. Keseluruhan masa dikorbankan untuk kerja dakwah. Jika kita letak diri kita sebagai pendakwah, kita akan berasa seronok apabila membuat kerja.”




Y.Bhg. Ketua Pengarah JAKIM juga ada menyentuh tentang kerjasama pintar yang perlu dilakukan oleh JAKIM Cawangan Sabah melalui hubungan baik dengan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pada kesempatan pertemuan itu juga, beliau turut memberi nasihat mengenai pengurusan peribadi seperti pembelian rumah dan tabungan untuk menunaikan ibadah Haji. Beliau menyatakan bahawa urusan-urusan peribadi yang diurus dengan baik akan meningkatkan lagi mutu dan budaya kerja pegawai dan kakitangan JAKIM Cawangan Sabah.



Majlis turut dihadiri oleh Tuan Haji Razali bin Haji Shahabudin, Pengarah Penyelidikan JAKIM, Ustaz Aziz bin Haji Mohamad, Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Pengetua-Pengetua Pusat Latihan, pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan JAKIM Cawangan Sabah.



Selepas penyampaian amanat oleh Y. Bhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM, majlis disudahi dengan jamuan Aidilfitri berikutan majlis tersebut jatuh pada hari terakhir bulan Syawal iaitu tanggal 30 Syawal 1430H.